Rehat...Lepak...Luah Rasa!!!


..Yok Shopping Yok!..

Friday, December 29, 2006

Maktok.

Cerita ini pernah di siarkan di majalah NUR.Now aku share sama2 dgn pelawat blog ni yang setia.

Maktok…

Dalam hidup saya, selain dari emak dan abah, adik beradik, suami dan anak yang saya senaraikan sebagai orang yang paling saya sayang dalam nadi hidup saya, ada lagi seorang insan yang teramat saya sayang. Kata budak-budak muda sekarang ‘Sayang Gila’. Hampir 12 tahun telah berlalu, namun kenangan bersamanya segar diingatan malah kadangkala masih bermain-main di halaman minda. Sayang saya pada dia, masih kuat. Rindu saya pada dia, makin mendalam dan kasih saya pada dia, bisa tertumpah airmata. Saya benar-benar rindu pada dia walaupun saya tahu..dia telah tiada.

Maktok (panggilan untuk tok perempuan saya) tinggal saya bersama keluarga saya sedari kecil. Maktok cantik,rajin, baik, penyayang – ah! tak tersenarai segala kebaikan maktok disini. Kami adik beradik dijaga dengan penuh kasih sayang. Semua maktok lakukan untuk kami adik beradik tanpa sebarang keluh kesah hinggalah usianya mencecah 50 tahun, maktok tiba-tiba diserang penyakit yang sukar ditafsir. Maktok sering meracau, seperti dirasuk. Kadang-kadang maktok seperti di’ganggu’ oleh makhluk-makhluk yang kita tak pasti kewujudannya di alam ini. Kesian maktok, bila di ganggu, pertuturannya bertukar menjadi loghat Siam.Orang kata, maktok kena buatan orang.

Emak saya tak pernah percaya maktok dibuat orang. Emak seorang jururawat.Kata emak, maktok ada kencing manis, darah tinggi – penyakit-penyakit ni yang buat maktok aku jadi tak menentu. Tiap-tiap minggu maktok akan di bawa ke klinik untuk pemeriksaan dan dalam masa yang sama, atas permintaan orang lain, maktok juga di bawa berubat dengan ahli-ahli agama untuk ‘buang’ sakit yang katanya buatan orang. Kesian saya tengok maktok.Apa salah dia? Saya sebenarnya hampir percaya, maktok kena buatan orang. Saya sering jadi peneman maktok, maktok banyak bercerita pada saya. Kata maktok, ‘benda’ tu takut dengan saya kerana saya budak berani. Saya tak pasti kesahihannya.

Klinik sudah, bomoh pun sudah, mungkin sudah sampai masa, setelah bertahun-tahun menanggung derita dan benar seperti orang kata, sekiranya ajal kita sudah tiba atau makin hampir tiba, banyak perubahan yang berlaku pada diri. Saya masih ingat kenangan sebulan sebelum arwah pergi meninggalkan kami. Saya lihat sendiri(kebetulan ketika itu cuti sekolah,saya sentiasa di sisi maktok), maktok sering tersenyum sendiri. Saya tanya kenapa? Katanya, arwah mak dia datang melawat. Maktok kata, maktok rindu pada mak dia. Hampir menitis airmata saya. Hampir tiap malam, maktok kata, arwah mak dia sering datang melawat. Maktok sepanjang hayat, tak pernah tinggal solat, tapi sebab sakitnya yang satu itu, setiap kali cuba bersolat, maktok pasti meracau kadangkala seperti histeria. Saya tak pasti kenapa. Kesian maktok, dia sering mengeluh – “Maktok nak sembahyang,tapi kenapa ada ‘orang’ kacau, Liza tolong sembahyangkan untuk maktok.” Sedih. Saya hanya mampu mendengar. Dalam masa itu, maktok sudah mula tak mahu makan. Jenuh saya paksa, katanya, dia sudah makan dengan mak dia.

Saya masih ingat, maktok yang sakit, tiba-tiba sihat. Dia nampak ceria. Maktok pesan pada saya,dia nak pergi jumpa mak dia dan kalau dia ‘pergi’, amik gelang tangan dia, gadaikan untuk buat uruskan jenazah. Mak marah maktok kerana cakap bukan-bukan. Maktok kata,itu kenyataan. Cuti sekolah hampir tamat dan saya terpaksa pulang keasrama untuk teruskan pengajian. Masih terbayang di mata, ketika saya hendak pulang, saya peluk maktok, cium tangan dia, peluk dia.Biasanya, saya hanya salam tapi kali ni, saya sempat kata, “ Maktok, za minta maaf kalau sepanjang za jaga maktok,Za ada marah-marah maktok. Za tak niat, Za sayang maktok.” Maktok peluk saya erat, seperti tak mahu lepas.Maktok sempat kata “Tak apa, maktok tak kecik hati,maktok faham.Maktok maafkan semua anak-anak maktok dan cucu-cucu maktok.” Maktok senyum, manis! Berseri. Sebelum saya pergi maktok minta “Liza, jangan balik asrama, tinggal dengan maktok sehari aje lagi.” Saya geleng kepala. Saya kena pulang kerana saya perlu hantar kertas kerja untuk PMR ketika itu. Saya pulang ke asrama dengan berat hati.

Sehari selepas pulang ke asrama, jam 9.00 malam, saya terima pesanan dari seorang guru.Pesanan bertulis ‘Kemas barang, abah ambil, kita balik Penang, Tok saudara meninggal dunia’. Saya terima pesanan tu seperti tiada apa-apa. Memang saya ada Tok saudara yang sedang sakit di Pulau Pinang. Saya mula mengemas. Setengah jam berlalu, abah sampai di hadapan asrama bersama adik kecil saya. Tiba-tiba adik saya menjerit “Akak, maktok dah meninggal!” Saya terkedu, terpaku. MAKTOK??? Lemah seluruh anggota badan. Sepanjang perjalanan, dari Teluk Intan ke Pulau Pinang saya menangis tak berhenti. Permintaan maktok, kebumikan dia berhampiran kubur kedua orang tuanya di Pulau Pinang. Ketika itu, terdetik di hati – ‘Kalau lah aku teman maktok aku sehari lagi’…tapi…saya terpaksa pasrah.Saya redha, jodoh saya bersama maktok noktah di situ.

Al-Fatihah untuk arwah maktok tersayang – Rahmah bt Sharif, semoga roh maktok ditempatkan disisi orang-orang yang beriman. Amin.

3 Comments:

  • huhu sedeynyer... teringat kat nenek belah ayah mase dier meninggal.. maser tuh farrah kecik lagi baru darjah 4.. memang baik giler... aper yang cucu dier nakk ikutkan jer huhuhu.. rindu kat nenek.. huhuh Al fatihah. buat mereka..

    By Anonymous Anonymous, at 11:38 AM  

  • perhhgg..gila syahdu..teringat tatkala membeli laksa utk makto...ngan tiba2 pinggan laksa jatuh..pecah..tanda...alfatihah buat maktok ku...

    By Anonymous Anonymous, at 11:20 AM  

  • Setiap insan yg di sayangi pasti akan meninggalkan kita dan memberi seribu kenangan dan kemanisan.

    By Anonymous Anonymous, at 8:44 AM  

Post a Comment

<< Home